Saturday, May 19, 2012

Andai aku bersedih

Bismillahhirrahmanirrahiim..

Alhamdulillah..alhamdulillah..alhamdulillah..

Hari ini bermula perjuangan nihaieku (final exam). Tempoh 10 hari. Bermula dengan baik, semoga pengakhiran yang baik juga, InsyaAllah. Hari ini, esok dan seterusnya semoga aku terus berjuang untuk menuntut ilmu dengan sabar dan penuh tawakkal. Bukan semata- mata kerana imtihan. Bukan semata-mata mahu lulus. Tapi kerana itu kewajipan seorang muslim untuk menuntut ilmu.

Sedih?

Sebenarnya point aku hari ini bukanlah nak cerita pasal exam or tuntut ilmu, tapi ingin berkongsi sedikit apa yang sering kita rasai dalam kehidupan ini. Sejujurnya,semua orang di dunia ini pasti pernah melalui perasaan  gembira, teruja, sedih, kecewa, putus asa dan sebagainya. Itu normal bagi seorang manusia. Itu nikmat yang telah Allah kurniakan pada kita. Sedih? Ya! Itu nikmat. Bukan senang merasa sedih, bukan selalu merasa sedih. Telah Allah takdirkan jalan cerita bagi setiap orang kisah hidupnya. Ada yang sedih, ada yang suka, ada yang sering putus asa. Tapi, usahlah kita menyalahkan Tuhan. DIA juga memujuk kita dengan pujukan yang manis :

" Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang yang beriman " [Al-Imran : 139]

Jadi? Apa harus buat?

Pernah banyak kali kawan - kawan bertanya jika aku bersedih, apa yang akan aku lakukan? Terdiam sejenak. Ya, apa yang aku lakukan? Jujur, jika aku berasa sedih, mula - mula aku akan menangis. Menangis semahu-mahunya. Menangis sehingga tiada rasa mahu menangis. Menangislah! Aku bukanlah orang yang mampu terus tersenyum, namun aku cuba. Aku sering menangis. Bermakna aku selalu sedih. Itu biasa kerana aku manusia biasa.

Itu aku. Kamu? Aku pernah melihat orang-orang sekelilingku bersedih. Apa yang mereka lakukan? Ada yang sepertiku,menangis. Ada yang memujuk dirinya dengan makan,makan dan makan. Sehingga rasa lega, dan boleh melupakan asbab kesedihannya (well, aku selalu tengok ni dlm drama korea ^^). Ada juga yang membawa diri ke tempat sunyi, ada yang bergurau dengan teman-teman bagi melupakan kesedihan. Dan macam-macam lagi 1001 cara manusia.  Setiap orang punya cara nya yang tersendiri.Terpulang, namun jika kamu bersedih, jangan lupa pada perkataan sabar. Jika kamu menangis, jangan lupa pada perkataan tenang. Jika kamu mengalirkan air mata, jangan lupa pada senyum. Kesedihan sebahagian dari kehidupan, tapi ia tidak menghalang kita untuk terus tersenyum.

Pujuklah hati !

Pujuklah hati andai bersedih. Bagaimana? Makan? Menangis?Berjalan? Terpulang. Pujuklah hati dengan caramu. Cara yang biasa kita lakukan. Cara yang membuat kita rasa lega. Cara yang membuat kita selesa. Namun, aku ingin berkongsi satu 'terapi' mengubat jiwa yang sedih. Cara memujuk hati yang paling mudah. Andai kita bersedih, bacalah Al-Quran. Bacalah ayat-ayat-Nya .Hayatilah pujukan-Nya. Tenangkan jiwa dengan janji-janji-Nya. Bahagiakan hati dengan kisah-kisah-Nya. Jaminanku, akan kamu temui ketenangan di situ. Jika harus menangis, menangislah! Akan terasa seperti Allah sedang memujuk kita dengan ayat-ayat cinta-Nya. Bacalah, bacalah sehingga benar-benar temui rasa tenang itu. Jika harus berpuluh-puluh muka surat, tidak mengapa, carilah hati kita pada nya.Pada Al-Quran.

Kembalilah hati yang baru !

Jika ditemui bahagia, maka akan kembalilah hati yang baru. Hati yang mula tersenyum lantaran pujukan-Nya yang manis. Hati akan rasa indah dan tenang. Sesungguhnya, akan kamu rasakan tiadalah pujukan yang lebuh manis dan indah serta lembut selain pujukan Allah. Dan hargailah hati yang baru kembali. Berdoalah, dan tersenyumlah " andai aku bersedih ".

Ku yakini, itulah yang terbaik dari-Nya
Buatku, seorang hamba
Hanya DIA
Mengetahui segalanya

Tidak mahu ku akui tewas
Biar menggunung badai menghempas
Tidak mahu ku terus menangis
Lantaran pujukanmu yang cukup manis.


Ucapkanlah,Alhamdulillah.